Kenangan Anak2 Sendeng

Jumaat, 31 Julai 2009

PENGERTIAN SENI SILAT SENDENG

Ungkapan Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Tn Hj Abdul Hamid Bin Hj Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafah tersendiri. Ditinjau pengertiannya sepintas lalu menurut urutan ungkapan tersebut ialah :

SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun rapi ketika
menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.

SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan diri atau
menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.

SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang
berposisi mengiring.

Mendalami pengertian 'SENDENG' yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi erti kata yang amat luas baik dari segi ilmiah, jasmaniah mahupun rohaniah. Dari segi ilmiah umpamanya 'SENDENG' terdiri dari sukukata dua perkataan yang dicantumkan iaitu 'SEN' dan 'DENG'.

SEN - singkatan daripada perkataan 'senggam' bermaksud kedudukan yang kukuh,
kuat dan rapi.

DENG - berasal dari perkataan 'dinding' iaitu tempat bertahan, tembok atau
tempat perlindungan.

Kesimpulannya jika dirangkumkan kembali kedua - dua sukukata tadi, ia bererti kedudukan atau tempat perlindungan yang kukuh dan selamat.

Dari sudut jasmani pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan, dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota badan yang berbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk, perut dan kemaluan). Dimana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan pihak lawan telah terkawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan si pesilat untuk mengorak langkah sama ada untuk maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.

Manakala dari segi rohaniah pula, kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana tempat yang hendak ditujui terlah terselindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia 'Lam Alif' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun, turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan 'permainan jauh' itu sukar dikesan.

Oleh yang demikian itu kedudukan 'SENDENG' merupakan salah satu cara untuk melepaskan, mematikan, membuka, dan menepis sebarang bentuk musibah yang bakal menghampiri kerana falsafah sendeng ada menyatakan 'CAPAI SEBELUM SAMPAI DAN BUNUH SEBELUM HIDUP'.

Tiada ulasan: